Kemaskini terkini kempen Rayuan Musim Sejuk Untuk Bumi Syam:
Projek Warm Their Winter dilancarkan bagi membantu saudara-saudara kita di Bumi Syam menghadapi musim sejuk yang ekstrem dengan menyalurkan bantuan berupa pakaian musim sejuk terpakai, selimut, kasut serta aksesori musim sejuk yang lain.
Pada hujung Oktober yang lalu, Pertubuhan Ihsanku Malaysia telah melaksanakan fasa persediaan utama dengan mengumpul, menyusun dan membungkus barangan bantuan (barangan terpakai) untuk dimuatkan ke dalam dua buah kontena yang akan dihantar ke Syria.
Buat masa ini, barangan bantuan terpakai telah mencukupi untuk memenuhi kapasiti kontena. Fokus segera kempen kini beralih kepada pengumpulan dana bagi menampung kos penghantaran kontena, termasuk kos logistik, pelabuhan, pengurusan dan berkaitan. Setakat kemas kini terkini, dana tambahan yang diperlukan untuk menampung kos kontena dianggarkan sekitar RM20,000.
Latar belakang kempen:
Setiap kali musim sejuk tiba, rakyat Syria, Palestin dan Lubnan khususnya pelarian, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas berdepan risiko kesejukan melampau, penyakit serta kekurangan perlindungan asas.
Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami di Bumi Syam, projek Warm Their Winter digerakkan untuk:
- Memberi lapisan perlindungan tambahan kepada keluarga yang terdedah kepada cuaca sejuk.
- Mengurangkan beban mereka yang tidak berkemampuan membeli pakaian dan kelengkapan musim sejuk.
- Menyalurkan solidariti ummah Malaysia melalui bantuan yang praktikal dan segera.